Tuesday, June 28, 2011

Solat Awal Waktu dan Solat Sunat Dhuha

Assalamualaikum wbt...

Harine nak kongsi tentang solat....

"Rasulullah bersabda: Pada suatu hari Rasulullah ditanya oleh seorang sahabat: Amalan apakah yang paling utama? Baginda menjawab: Solat tepat pada waktunya. (riwayat Bukhari dan Muslim).


Di samping itu, Rasulullah pernah bersabda: "Barang siapa yang bersolat tepat pada waktunya dan melengkapkan rukuk, sujud dan khusyuk maka solat itupun naik ke atas dalam keadaan putih dan cemerlang. Solat itu berkata: "Semoga Allah menjaga dirimu sebagaimana engkau menjaga aku (menyempurnakan rukun solat itu). Tetapi barang siapa yang tidak bersolat, tidak dalam waktu yang ditentukan dan tidak pula menyempurnakan wuduknya serta tidak pula melengkapkan rukuk, sujud dan tanpa khusyuk sama sekali, maka solat itupun naiklah ke atas dalam keadaan hitam kelam sambil berkata: "Semoga Allah mensia-siakan dirimu sebagaimana engkau mensia-siakan aku. Selanjutnya setelah solat itu berada di suatu tempat seperti dikehendaki Allah, ia pun lalu dilipatkan sebagaimana dilipatnya baju yang koyak rabak kemudian dipukulkanlah kepada mukanya." (riwayat al-Tabrani dan Baihaqi).



Sementara, dalam surah al-Mukmin ayat 8 hingga 11 yang bermaksud: Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya, dan orang yang memelihara solatnya; mereka itulah orang yang berhak mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.


*Petikan di atas saya ambil dari blog UZAR:

Juga, Kongsi doa dhua… (boleh google doa dhuaha versi UNIC - mungkin kalau selalu dgr, memudahkan untuk ingat)


Kalau ada kesempatan, boleh lah amalkan solat sunat dhuha… lepastu baca doa as per attached:

Ya Allah
sesungguhnya waktu dhuha itu waktu dhuha Mu
Kecantikannya… kecantikan Mu
Keindahannya … keindahan Mu
Kekuatannya … Kekuatan Mu
Kekuasaannya … Kekuasaan Mu
Perlindungannya perlindungan MU

Ya Allah
Jika rezeki masih dilangit, turunkanlah…
Jika dibumi, keluarkanlah…
Jika sukar, permudahkanlah…
Jika haram, sucikanlah…
Jika jauh, dekatkanlah…

Berkat waktu dhuha
Kecantikan Mu, keindahan Mu, kekuatan Mu, kekuasaan Mu.
Limpahkan kepada ku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hamba Mu yang soleh

link Solat Sunat Dhuha

Petikan hadis berikut diambil dari web JAKIM:


Hadith:


Dari Abu Hurairah r.a katanya:Junjunganku (Nabi Muhammad SAW) telah berwasiat supaya aku mengerjakan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada tiap-tiap bulan, mengerjakan dua rakaat sembahyang dhuha dan juga supaya aku mengerjakan sembahyang witir sebelum aku tidur.

Huraian Hadith:


1. Jalan untuk mencapai tahap ihsan ialah dengan melalui proses menunaikan segala perkara yang difardhu atau diwajibkan. Lebih tinggi daripada itu ialah dengan melakukan amalan-amalan yang membawa taqarrub kepada Allah SWT iaitu amalam-amalan an-Nawafil (sunat).


2. Maka untuk melakukan amalan-amalan tersebut memerlukan jihad, kemampuan serta kerelaan hati, kesungguhan yang berterusan dan memusatkan segala kepentingan kepada Allah SWT semata-mata.


3. Antara amalan sunat yang digalakkan oleh Rasulullah SAW ialah seperti:


i. Sembahyang sunat Dhuha- iaitu sembahyang yang dikerjakan dengan sekurang-kurangnya dua rakaat dan afdhalnya ialah lapan rakaat. Masuk waktunya pula ialah apabila matahari meninggi kadar segalah


ii. Berpuasa sunat terutamanya tiga hari dalam sebulan iaitu di hari-hari putih (13, 14 dan 15 haribulan dari bulan Qamariah).


iii. Sembahyang witir iaitu sembahyang sunat yang paling utama setelah sembahyang wajib. Waktunya bermula selepas sembahyang Isyak hinggalah terbit fajar. Paling sedikit bilangan rakaatnya ialah 1 rakaat dan paling banyak ialah 11 rakaat. Ia dinamakan sembahyang Witir kerana ia dikerjakan dengan bilangan rakaat yang ganjil.


4. Dalam mengerjakan ibadat janganlah kita hanya mementingkan kuantiti amalan yang dilakukan tanpa memikirkan kualitinya kerana tiada gunanya amalan yang banyak sedangkan ianya tidak diterima oleh Allah SWT. Hal ini mungkin disebabkan ibadat tersebut dikerjakan tanpa khusyuk atau kerana timbulnya perasaan riya' dan ujub yang membinasakan pahala.


Hadith:


Dari Abu Dzar r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya:Setiap orang mempunyai sumber sedekah. Tiap-tiap tasbih, tahmid, tahlil dan takbir adalah sedekah. Amar makruf adalah sedekah, nahi mungkar adalah sedekah. Dan semuanya itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha.

Huraian Hadith:


Beramal ibadah itu bukan setakat di hamparan sejadah (solat) semata tetapi ia meliputi aspek-aspek amalan anggota lahir dan batin di luar sembahyang juga seperti bersedekah, bertasbih, bertahmid dan sebagainya. Pokoknya di setiap kesempatan yang ada perlu diisi dengan amal kebaikan kerana setiap amal akan diganjari dengan balasan yang baik dan begitulah sebaliknya.

No comments:

Post a Comment

Nak Komen?
Silakan.Moga beri komen yang bermanfaat. Setiap yang kita tulis Allah akan nilai.Betul tak? (*_*)