Monday, March 8, 2010

7 GOLONGAN ORANG YANG MENUNTUT ILMU

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Selawat dan Salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. serta seluruh ahli keluarga dan sahabat baginda...
Islam mewajibkan lelaki dan perempuan menuntut ilmu dan mengajarkannya pula, terutamanya ilmu yang berkaitan dengan fardhu ‘ain.
Rasulullah s.a.w bersabda dan maksudnya :“Sekiranya Allah menghendaki kebaikan buat seseorang, nescaya Dia akan memberi kefahaman tentang Agama kepada orang tersebut.” (HR: Bukhari & Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda dan maksudnya :“Menuntut Ilmu adalah fardhu kepada setiap orang Islam, dan meletakkan ilmu kepada yang bukan ahlinya tidak ubah seperti menggantungkan permata, mutiara dan emas kepada seekor babi.” (HR: Ibnu Majah)

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dan maksudnya :“Malaikat membentangkan kepaknya kepada orang yang menuntut ilmu kerana ia gembira dengan apa yang diperbuatnya (menuntut ilmu ini).” (HR: Ibnu ‘Asakir)

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi yang maksudnya :“Sesiapa yang mati ketika menuntut ilmu, maka ia akan menemui Allah s.w.t., sedangkan jaraknya ketika itu dengan para nabi tidak ada, kecuali satu darjat kenabian.” (HR: Tabrani).

Dengan adanya dua lagi hadis ini, maka dapatlah kita mengetahui kepentingan menuntu ilmu itu. Kepentingan menuntut ilmu ini sungguh mulia sehingga malaikat membentangkan sayapnya untuk memayungi orang-orang yang menuntut ilmu itu. Tetapi ilmu itu hendaklah ilmu yang baik, lebih-lebih lagi ilmu berkaitan agama, kerana ianya akan beroleh rahmat serta keredhaan Allah SWT. Ilmu yang didapati pula hendaklah dikongsi bersama kerana ianya merupakan sedekah kepada orang yang hendak diajarnya itu.

Rasulullah s.a.w. bersabda dan maksudnya :“Sedekah yang paling afdal ialah apabila seseorang muslim yang belajar sesuatu ilmu dari saudara muslimnya, kemudian ia mengajarkan ilmunya itu kepada saudara muslimnya.” (HR: Ibnu Majah)

Namun begitu, di kalangan manusia, terdapat 7 golongan yang menuntut ilmu, tak kira ilmu dunia mahu pun akhirat.

1. Golongan yang mabuk ilmu.
Orang ini menuntut dan mencari ilmu kerana ilmu semata-mata. Dia seronok, mabuk dan asyik dengan ilmu. Mabuk ilmu sehingga ada yang tidak mahu kahwin kerana katanya belum puas belajar.
2. Golongan berilmu untuk meraih kekayaan duniawi.
Orang ini mencari ilmu kerana bercita-cita hendak dapat jawatan tinggi, seperti mufti, dan bergaji besar. Dengan ilmu juga dia boleh berniaga dan jadi kaya serta mendapat banyak harta.
3. Golongan berilmu untuk menjadi pemimpin.
Orang ini mencari ilmu kerana bercita cita hendak menjadi pemimpin. Seorang yang jadi pemimpin mesti berilmu.
4. Golongan berilmu untuk dapatkan nama.
Orang ini mencari ilmu kerana hendakkan glamour dan nama agar ia dikatakan seorang yang intelek dan berilmu.
5. Golongan berilmu supaya dirinya tidak dipandang hina.
Orang ini belajar ilmu kerana hendak keluar daripada kejahilan dan kebodohan, agar dia tidak dipandang hina dalam masyarakat.
6. Golongan ilmuan yang berfahaman nasionalisme.
Orang ini menuntut ilmu kerana ingin membangun dan maju demi kedaulatan dan kemegahan bangsa dan negara, agar bangsanya tidak mundur dan terhina.
7. Golongan ilmuan yang bertaqwa.
Golongan ini menuntut ilmu kerana perintah Allah. Dengan mengamalkan ilmu tersebut dia boleh mengabdikan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Golongan ini menggunakan ilmu untuk membangunkan Islam dalam berbagai bagai aspek saperti ekonomi, pertanian, bangunan, sekolah, jalan raya, pembangunan insan dan lain- lain, dengan tujuan agar dapat melindungi iman, memperkuatkan syariat, meninggikan syiar Islam dan mendaulatkan hukum Allah di muka bumi ini.

No comments:

Post a Comment

Nak Komen?
Silakan.Moga beri komen yang bermanfaat. Setiap yang kita tulis Allah akan nilai.Betul tak? (*_*)